Wednesday 5 June 2013

PERCUTIAN DUA DALAM SATU

Assalamualaikum.....selamat malam buat sahabat-sahabat Mawar Putih. Semoga malam ini dan malam-malam yang kita lalui lebih indah dan manis dari malam-malam yang lalu. InshaALLAH..dengan izin ALLAH..

Entry saya kali ni nak bercerita sikit tentang perjalanan saya bersama ahli keluarga ke Pendang, Kedah pada 31 Mei 2013 yang lalu. Kami berkonvoi dengan menggunakan enam buah kereta. Huh...bila berkumpul beramai-ramai rupanya ramai betul ahli keluarga saya. Itu baru seorang kakak bersama anak menantu dan cucu-cucunya. Kalaulah berkumpul semua adik beradik bersama anak menantu dan cucu-cucu, mahu seekor lembu tumbang untuk kenduri belum tentu cukup...hihihi...

Tujuan kami ke sana untuk menghantar rombongan meminang buat anak saudara (anak kakak kedua saya yang bongsu). Kami bertolak dari rumah seawal jam 7.45 pagi. Ya ALLAH, selamatkanlah perjalanan kami untuk sampai kedestinasi yang dituju.

Dalam perjalanan, kami singgah di R & R Sungai Tong Terengganu untuk bersarapan pagi. Syukur padaMU ya ALLAH rezeki pagi ni dengan sepiring nasi lemak dan secawan teh o. Setelah selesai bersarapan pagi, kami meneruskan perjalanan hingga ke Jeli Kelantan. Kami berhenti di Stesen Minyak Shell untuk mengisi minyak kenderaan masing-masing. Perut kereta pun kena isi cukup-cukup kerana stesen minyak tidak ada disepanjang mendaki Lebuhraya Timur Barat. Selesai membeli sedikit kudap kudapan untuk mengunyah didalam kereta, kami pun mula bergerak meneruskan perjalanan susuri bukit bukau, gugung ganang sepanjang lebuharaya. Pendakian pergunungan Banjaran Titiwangsa amat menyejukkan.

Alhamdulillah, kami sampai ke Pendang Kedah lebih kurang jam 4.30 petang. Kami menyewa tiga buah homestay di Taman Kiara Mas Pendang lebih kurang 2km dari bandar Pendang. Huh!!. keletihan tahap gaban seharian perjalanan dari Kuala Terengganu- Kedah walau pun saya hanya tukang sibuk dibelakang pemandu. Akhirnya selepas selesai solat isya' saya melelapkan mata dengan begitu lena sekali..

Hari Jumaat 1 Jun 2013, jam 2.00 petang kami bertolak dari homestay menuju ke Pendang membawa hajat meminang anak gadis Pendang buat anak teruna bongsu kakak kedua saya.
Pucuk pauh ditepi permatang
Buah berangan rasanya lazat
Dari jauh kami datang
Datang dengan satu hajat

Perjalanan dari homestay ke Kg Sungai Mati, Pendang lebih kurang 20 minit. Saya teruja dengan kehijauan sawah bendang kiri dan kanan jalan menuju kerumah sigadis. Sesekali angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi keindahan dan kedamaian    disini. Sesungguhnya hati saya sudah jatuh cinta dengan kehijauan pokok-pokok padi dan alam semula jadi yang tidak ternoda oleh debu-debu kota.

Selesai majlis sarung cincin (maaf ya..sebarang photo majlis pertunangan tidak dibenarkan muat turun dalam entry ini. Pesanan daripada penaja..hahaha) sempat juga saya berposing di tengah sawah.

 Bersama cucu saudara (Afiq Syahmi)




 Berlatarbelakangkan sawah padi di Pendang Kedah



Sinaran mentari pagi....indahnya ciptaan Tuhan....


Kehijauan daerah Pendang yang nyaman...

Malam kedua kami bermalam lagi di homestay Pendang tapi hanya tinggal penghuni untuk tiga buah kereta saja. Dua buah kereta menginap di homestay Sungai Petani kerana keesukan harinya mereka akan menuju Pulau Pinang sementara sebuah lagi menuju ke Taiping Perak untuk menghabiskan cuti-cuti Malaysia.

Kami bertolak dari Pedang seawal jam 8.15pagi. Selepas mengambil sarapan di pekan Pendang, tanpa lengah kami meneruskan perjalanan balik. InshaAllah, jika diizinkan Tuhan, tahun depan kami akan jejaki lagi bumi Pendang untuk menyatukan dua hati dalam ikatan sebuah perkahwinan.

Kami berhenti makan tengahari di Tanah Merah Kelantan dan selesai makan kami singgah sebenar untuk cuci-cuci mata di Bukit Bunga tempat membelibelah ala-ala Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.

Kesesakan jalanraya begitu mencabar pemandu dan kami bila perjalanan yang penuh liku tersekat dek trafik jem sepanjang 5km menuju ke Machang dengan memakan masa sehingga dua jam setengah. Adus!!..kami mengeluh...rupanya trafik jem dimusim cuti persekolahan amatlah memeritkan. 

Niat kami untuk merasai kesibukan di Pasar Malam Wakaf Che Yeh dan bermalam disana terpaksa dibatalkan memandangkan kesesakan jalanraya dan penginapan telah pun penuh. 

Jadi dengan hati yang berbuku-buku, kami meneruskan perjalanan dan akhirnya kami berhenti untuk solat maghrib di Masjid Guntong Luar Setiu Terengganu. Oleh kerana perut dah mula keroncong, kami berhenti makan malam di Kampung Tepuh Terengganu. Alhamdulillah.... 

Kami meneruskan perjalanan dan alhamdulillah, kami sampai dirumah pada jam 9.30 malam. Perjalanan yang mengambilmasa dua belas jam cukup memenatkan tapi kami enjoy...
Kalau ada sumor diladang
Boleh kami menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
InshaAllah, tahun depan berjumpa lagi

No comments:

Post a Comment