Tuesday 23 April 2013

CINTA YANG TIDAK PERNAH PADAM...

Bagaimana harus saya mulakan...perlukah saya luahkan tentang hati dan perasaan saya, tentang cinta saya yang sarat dengan kerinduan. Ya, rindu....Dalam kehidupan, rindu sentiasa ada. Ianya tidak pernah mati dan ianya tidak pernah luak walau seinci pun. Rindu sentiasa bertandang pada arwah ayah dan mak walau pun telah 8 tahun mereka meninggalkan saya. 

Saya masih ingat lagi bagaimana rentetan perjalanan yang amat sukar saya tempuhi di saat-saat akhir bersama arwah ayah dan mak. Tapi dengan pertolongan ALLAH s.a.w segala kesukaran itu saya lalui dengan seribu kemanisan kerana dapat berbakti kepada kedua orang tua di akhir hayat mereka.

Masih tergambar diruangan mata ketika ayah dimasukkan ke  Hospital Nur Zahirah Kuala Terengganu pada 16 Disember 2004. Ayah diserang penyakit strok bahagian otak menyebabkan ayah koma. 

Oleh kerana mak juga mengidap komplikasi jantung dan darah tinggi, mak tidak mampu untuk menjaga ayah di ward. Jadi kami adik beradik sepakat menjaga ayah di ward 7A1 secara bergilir-gilir.

Selama sebelas hari ayah ditahan di ward dan pada 26 Disember 2004 ayah dibenarkan pulang walau pun keadaan ayah masih tidak berubah. Ayah tetap terbaring kaku tanpa kata, tanpa senyuman, tanpa gurau dan ketawa. Ketika itu Tuhan saja yang tahu betapa rindunya saya nak mendengar suaranya...

Oleh kerana kakak saya nak ke Mekah menunaikan fardu haji pada akhir 2004, jadi kami adik beradik yang lain mengambilalih tugas menjaga ayah. Dan saya telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan untuk menabur bakti kepada mereka. Saya ingin bersama mereka disaat akhir hayat mereka.

Kakak berangkat ke Mekah dan pada awal tahun 2005 bermulalah kehidupan baru saya. Rutin harian dengan menjaga makan minum mereka. Ayah hanya minum susu melalui penyambungan tiub dari mulut terus ke dalam rongga. Keadaan mak berjalan dengan menggunakan tongkat menyebabkan mak sukar untuk menjaga ayah. Hari demi hari berlalu ayah kian tenat. " Ya ALLAH, berilah aku sedikit kekuatan untuk menghadapi saat-saat kesedihan ini ".

Kakak telah selamat kembali dari mengerjakan fardhu haji sementara saya pula kembali bertugas pada 6 Februari 2005 setelah berakhirnya cuti tanpa gaji. Setiap hujung minggu saya akan balik kerumah kakak untuk berjumpa dengan mereka. Begitulah hari-hari berlalu. Doa tak pernah putus, semoga ayah sembuh dan mak sihat.

Sedang leka menghadapi tugas-tugas harian dipejabat, saya menerima panggilan telefon dari kakak di kampung menyatakan mak telah dimasukkan ke Hospital Nur Zahirah Kuala Terengganu pada 16 Februari 2005. " Ya, ALLAH kalaulah itu ujianMU pada hambaMU, aku menerimanya dengan redha". Setitis airmata gugur menerima perkhabaran itu. 

Setelah menyelesaikan semua urusan, keesukan harinya saya balik ke Kuala Terengganu jenguk mak dihospital. Sekali lagi saya mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga mak diward 7A1 secara bergilir-gilir dengan adik beradik kerana keadaan ayah yang terlantar  dirumah masih memerlukan penjagaan rapi dari kami.  Komplikasi jantung yang tidak stabil dan kepekatan darah menyebabkan mak koma macam ayah. Terbaring kaku, terpejam tanpa kata. 

Oleh kerana bebanan kerja yang terlalu banyak memaksa saya memendekan cuti. Saya masih ingat, saat nak meninggalkan mak, saya kucup tangan dan pipi mak. Sambil memeluk mak dan berbisik ke telinga mak, " Mak, kita balik dulu. Esuk kita kerja sebab cuti dah habis. InsyaAllah, nanti habis kerja kita balik tenguk mak". Tuhan Maha Kaya, tiba-tiba mak bersuara, " Nak balik dah ke..". Saya memeluk erat tubuh mak yang terbaring dikatil. Tanpa saya sedari, airmata bercucuran dipipi saya bila mendengar suara mak. Saya bersyukur padaMU ya ALLAH...Saya melangkah meninggalkan mak dengan perasaan terharu. 

Sebelum meneruskan perjalanan balik sempat saya jenguk ayah dirumah kakak. Keadaan ayah semakin uzur. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Saya tinggalkan ayah dengan kucupan didahi sambil membisikan kalimah 'ALLAH' di telinga ayah. "Andainya esok masih ada, insyaALLAH, kita akan berjumpa lagi ayah". Sesudah itu saya meneruskan perjalanan balik yang mengambil masa satu jam setengah untuk sampai rumah.

Keesukan harinya dengan perasaan bercampur baur saya kepejabat. Nak cuti terus terusan, meja sudah tidak nampak ruang kosong. Mengingatkan mak di hospital dan ayah dirumah yang sedang sakit, sesaat rasanya tak mahu berpisah dengan mereka. Mahu tak mahu demi tanggungjawab, saya selesaikan juga tugas-tugas yang terbengkalai dengan hati berbelah bagi. 

Sedang tekun melunasi kerja tiba-tiba telefon dimeja berdering. Tanpa lengah saya mengangkat telefon, nafas saya seakan terhenti bila mendengar suara kakak "ayah sudah tiada" Innalillahwainnalillahirojiun...ayah telah kembali ke rahmatullah pada 26 Februari 2005 (sabtu) tepat jam 12.50tengahari.

Ya ALLAH, betapa beratnya dugaan kepada hambaMU ini. Titis demi titis airmata gugur membasahi pipi. Selama dua bulan saya bersama ayah, temani ayah tapi disaat ayah menghembus nafas terakhir saya tidak ada disisi ayah. Saya redha dengan pemergian ayah. Semoga ayah tenang disana nanti.

Tanpa berlengah saya terus bergegas pulang ke kampung. Sesampainya dirumah kakak, semua sanak saudara jauh dan dekat sudah berkumpul untuk memberi penghomatan terakhir pada ayah. Hati teringat mak...ya mak.. Saya diberitahu, adik bongsu ada dihospital temani mak dan bagitahu mak yang ayah telah pergi dulu mengadap Tuhan. Berat hati nak menyampaikan berita sedih itu pada mak memandangkan kesihatan mak tidak stabil. Dengar kata adik, dalam keadaan mak terbaring kaku, mata terpejam dan tanpa suara, kelihatan ada titis airmata ditubir mata mak bila adik membisikkan ditelinga mak yang ayah telah tiada. Ajal maut jodoh pertemuan Tuhan yang tentukan. Sudah tersurat mak tidak dapat bertemu ayah ketika ayah menghembuskan nafas terakhir begitu juga dengan saya.

Ayah selamat disemadikan pada jam 6.00petang. Pada sebelah malamnya pula diadakan majlis tahlil untuk arwah ayah selama tujuh malam berturut-turut. " Ayah, aku akan merinduimu buat selama-lamanya". Al-Fatihah...Amin..

Hari demi hari berlalu sakit mak masih tidak berubah. Setiaphari doktor akan mengambil darah mak kerana kata doktor, darah mak pekat. Keadaan ini tidak membolehkan mak pulang kerumah. "Ya ALLAH, sembuhkanlah penyakit mak. Aku tak sanggup lagi tenguk mak terbaring dikatil. Aku rindu suara mak..rindu sangat". Suara hati yang sentiasa berlagu bila setiapkali menatap wajah mak. 

Begitulah rutin harian saya. Saya berulangalik dari tempat kerja ke hospital atau pun saya akan menghabiskan cuti tahunan demi untuk menjaga mak. Sehinggalah pada 8 April 2005 (Jumaat) sekali lagi saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari adik pada jam 5.00pagi menyatakan mak tenat dan dimasukan ke CCU. Saya diam terpaku..Ya ALLAH...mak....saya menjerit...

Perkhabaran yang diterima begitu meremukkan hati. Tanpa lengah saya terus mengemas pakaian. Niat dihati saya nak bercuti panjang jaga mak. Jadi terpaksalah saya lebihkan sedikit pakaian untuk dibawa bersama. Dalam kelam kabut mengemas, tiba-tiba saya dikejutkan lagi dengan perkhabaran yang baru disampaikan oleh adik, mak sudah tiada...... Ya, mak sudah pulang ke rahmahtullah tepat jam 8.30pagi pada 8 April 2005 di ward CCU Hospital Nur Zahirah Kuala Terengganu. Innalillahwainnalillahirajiun....Kali ini saya menangis lagi. Mak tinggalkan kami setelah genap 42 hari ayah pergi. Begitulah janji Tuhan, segalanya pasti. Saya tak sempat juga bersama mak disaat akhir hayat mak. " Ya ALLAH, kalaulah ini bahagianku, aku terima dengan redha. Semoga Tuhan mencucuri rahmat keatas roh mak.  Al-Fatihah...amin...amin ya Rabbalalamin".

Saya sampai dirumah kakak ketika jenazah mak baru sampai dari hospital. Sanak saudara, sahabat handai sudah memenuhi rumah untuk memberi penghormatan terakhir buat mak. Dengan bantuan seorang tukang mandi jenazah, kami empat beradik turut sama memandikan mak. Ya ALLAH, tiada lagi titis airmata yang keluar selain ketenangan dalam hati dapat memandikan mak buat kali terakhir. Mak selamat disemadikan bersebelahan dengan pusara ayah pada jam 3.30 petang. Sebelah malam kami adik beradik sepakat mengadakan tahlil selama 7 malam. Ya, ALLAH semoga roh arwah ayah dan mak damai disana....

Kini telah lapan tahun berlalu terasa baru semalam arwah ayah dan mak pergi. Sesekali bila rindu menyapa tanpa sedar airmata membasahi pipi. 

Ya ALLAH, sampaikan kerinduan saya pada mereka. Sampaikan doa-doa saya pada mereka. Ampunkanlah segala kesalahan dosa-dosa mereka. Lapangkanlah kubur mereka. Bahagiakanlah mereka dialam barzakh. Pertemukanlah kami di syurga nanti...Al Fatihah...Amin..Amin ya Rabbalalamin..

2 comments:

  1. aamiin... Semoga Arwah ditempatkan dalam kalangan mereka yang soleh dan solehah.
    Mak cik, sebak hati wid baca, akhirnya gugur juga air mata wid, baca kisah ni. Doakan wid boleh berada di samping Maa dengan Paa sampai akhir nafas mereka ya Mak cik. =)

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Wid...itulah realiti sebuah kehidupan. Walau pun musim berganti, cinta mereka tetap unggul dihati. Pesan dari makcik, selagi hayat kedua orang tua masih ada, jagai dan sayangilah mereka..itulah pengorbanan yang maha suci demi cinta kepada mereka...

    ReplyDelete