Wednesday 5 June 2013

PERCUTIAN DUA DALAM SATU

Assalamualaikum.....selamat malam buat sahabat-sahabat Mawar Putih. Semoga malam ini dan malam-malam yang kita lalui lebih indah dan manis dari malam-malam yang lalu. InshaALLAH..dengan izin ALLAH..

Entry saya kali ni nak bercerita sikit tentang perjalanan saya bersama ahli keluarga ke Pendang, Kedah pada 31 Mei 2013 yang lalu. Kami berkonvoi dengan menggunakan enam buah kereta. Huh...bila berkumpul beramai-ramai rupanya ramai betul ahli keluarga saya. Itu baru seorang kakak bersama anak menantu dan cucu-cucunya. Kalaulah berkumpul semua adik beradik bersama anak menantu dan cucu-cucu, mahu seekor lembu tumbang untuk kenduri belum tentu cukup...hihihi...

Tujuan kami ke sana untuk menghantar rombongan meminang buat anak saudara (anak kakak kedua saya yang bongsu). Kami bertolak dari rumah seawal jam 7.45 pagi. Ya ALLAH, selamatkanlah perjalanan kami untuk sampai kedestinasi yang dituju.

Dalam perjalanan, kami singgah di R & R Sungai Tong Terengganu untuk bersarapan pagi. Syukur padaMU ya ALLAH rezeki pagi ni dengan sepiring nasi lemak dan secawan teh o. Setelah selesai bersarapan pagi, kami meneruskan perjalanan hingga ke Jeli Kelantan. Kami berhenti di Stesen Minyak Shell untuk mengisi minyak kenderaan masing-masing. Perut kereta pun kena isi cukup-cukup kerana stesen minyak tidak ada disepanjang mendaki Lebuhraya Timur Barat. Selesai membeli sedikit kudap kudapan untuk mengunyah didalam kereta, kami pun mula bergerak meneruskan perjalanan susuri bukit bukau, gugung ganang sepanjang lebuharaya. Pendakian pergunungan Banjaran Titiwangsa amat menyejukkan.

Alhamdulillah, kami sampai ke Pendang Kedah lebih kurang jam 4.30 petang. Kami menyewa tiga buah homestay di Taman Kiara Mas Pendang lebih kurang 2km dari bandar Pendang. Huh!!. keletihan tahap gaban seharian perjalanan dari Kuala Terengganu- Kedah walau pun saya hanya tukang sibuk dibelakang pemandu. Akhirnya selepas selesai solat isya' saya melelapkan mata dengan begitu lena sekali..

Hari Jumaat 1 Jun 2013, jam 2.00 petang kami bertolak dari homestay menuju ke Pendang membawa hajat meminang anak gadis Pendang buat anak teruna bongsu kakak kedua saya.
Pucuk pauh ditepi permatang
Buah berangan rasanya lazat
Dari jauh kami datang
Datang dengan satu hajat

Perjalanan dari homestay ke Kg Sungai Mati, Pendang lebih kurang 20 minit. Saya teruja dengan kehijauan sawah bendang kiri dan kanan jalan menuju kerumah sigadis. Sesekali angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi keindahan dan kedamaian    disini. Sesungguhnya hati saya sudah jatuh cinta dengan kehijauan pokok-pokok padi dan alam semula jadi yang tidak ternoda oleh debu-debu kota.

Selesai majlis sarung cincin (maaf ya..sebarang photo majlis pertunangan tidak dibenarkan muat turun dalam entry ini. Pesanan daripada penaja..hahaha) sempat juga saya berposing di tengah sawah.

 Bersama cucu saudara (Afiq Syahmi)




 Berlatarbelakangkan sawah padi di Pendang Kedah



Sinaran mentari pagi....indahnya ciptaan Tuhan....


Kehijauan daerah Pendang yang nyaman...

Malam kedua kami bermalam lagi di homestay Pendang tapi hanya tinggal penghuni untuk tiga buah kereta saja. Dua buah kereta menginap di homestay Sungai Petani kerana keesukan harinya mereka akan menuju Pulau Pinang sementara sebuah lagi menuju ke Taiping Perak untuk menghabiskan cuti-cuti Malaysia.

Kami bertolak dari Pedang seawal jam 8.15pagi. Selepas mengambil sarapan di pekan Pendang, tanpa lengah kami meneruskan perjalanan balik. InshaAllah, jika diizinkan Tuhan, tahun depan kami akan jejaki lagi bumi Pendang untuk menyatukan dua hati dalam ikatan sebuah perkahwinan.

Kami berhenti makan tengahari di Tanah Merah Kelantan dan selesai makan kami singgah sebenar untuk cuci-cuci mata di Bukit Bunga tempat membelibelah ala-ala Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.

Kesesakan jalanraya begitu mencabar pemandu dan kami bila perjalanan yang penuh liku tersekat dek trafik jem sepanjang 5km menuju ke Machang dengan memakan masa sehingga dua jam setengah. Adus!!..kami mengeluh...rupanya trafik jem dimusim cuti persekolahan amatlah memeritkan. 

Niat kami untuk merasai kesibukan di Pasar Malam Wakaf Che Yeh dan bermalam disana terpaksa dibatalkan memandangkan kesesakan jalanraya dan penginapan telah pun penuh. 

Jadi dengan hati yang berbuku-buku, kami meneruskan perjalanan dan akhirnya kami berhenti untuk solat maghrib di Masjid Guntong Luar Setiu Terengganu. Oleh kerana perut dah mula keroncong, kami berhenti makan malam di Kampung Tepuh Terengganu. Alhamdulillah.... 

Kami meneruskan perjalanan dan alhamdulillah, kami sampai dirumah pada jam 9.30 malam. Perjalanan yang mengambilmasa dua belas jam cukup memenatkan tapi kami enjoy...
Kalau ada sumor diladang
Boleh kami menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
InshaAllah, tahun depan berjumpa lagi

Monday 3 June 2013

SUARA HATI



Kekerapan bertemu
Tak terasakan ertinya
Tapi bila berjauhan begini
Melihat rupa
Pita rakaman
Atau surat pun
Terasa nikmatnya










AKU HANYA SEMUT MERAH

Assalamualaikum..salam sayang buat pengunjung blog Mawar Putih. Maafkan saya kerana membiarkan Mawar Putih sepi tanpa berita, tanpa teman untuk berbicara. Dah sebulan saya tidak menulis apa-apa entry dalam blog ini. Nak kata tak cukup masa amatlah mustahil tapi sejujurnya hati saya seakan kehilangan kata-kata. Fikiran saya kosong..Ya ALLAH..apa telah jadi dengan saya..

Duhai Mawar Putih...bernafaslah..kembalilah bercerita. Luahkan apa yang yang terbuku dihatimu..Datanglah wahai kedamaian. Intailah walau pun sesaat meski pun tak sudi kau dakap...

Saya ingin melagukan kesyahduan yang sering berdendang dalam mimpi-mimpi. Hadirannya yang memecah bibir pantai, pasir-pasir yang berlari seirama dengan arus ombak yang akhirnya tersadai keletihan. Mungkinkah saya juga seperti ombak itu......kerana saya hanyalah semut merah..

Wednesday 24 April 2013

LADANG PUISI

Diladang puisi ini
Ku tabur
Benih-benih
Bunga kerinduan
Bersama siraman
Air keimanan

Diladang puisi ini
Ku belai
Pepohon ketaqwaan
Agar subur
Sepanjang masa




Tuesday 23 April 2013

CINTA YANG TIDAK PERNAH PADAM...

Bagaimana harus saya mulakan...perlukah saya luahkan tentang hati dan perasaan saya, tentang cinta saya yang sarat dengan kerinduan. Ya, rindu....Dalam kehidupan, rindu sentiasa ada. Ianya tidak pernah mati dan ianya tidak pernah luak walau seinci pun. Rindu sentiasa bertandang pada arwah ayah dan mak walau pun telah 8 tahun mereka meninggalkan saya. 

Saya masih ingat lagi bagaimana rentetan perjalanan yang amat sukar saya tempuhi di saat-saat akhir bersama arwah ayah dan mak. Tapi dengan pertolongan ALLAH s.a.w segala kesukaran itu saya lalui dengan seribu kemanisan kerana dapat berbakti kepada kedua orang tua di akhir hayat mereka.

Masih tergambar diruangan mata ketika ayah dimasukkan ke  Hospital Nur Zahirah Kuala Terengganu pada 16 Disember 2004. Ayah diserang penyakit strok bahagian otak menyebabkan ayah koma. 

Oleh kerana mak juga mengidap komplikasi jantung dan darah tinggi, mak tidak mampu untuk menjaga ayah di ward. Jadi kami adik beradik sepakat menjaga ayah di ward 7A1 secara bergilir-gilir.

Selama sebelas hari ayah ditahan di ward dan pada 26 Disember 2004 ayah dibenarkan pulang walau pun keadaan ayah masih tidak berubah. Ayah tetap terbaring kaku tanpa kata, tanpa senyuman, tanpa gurau dan ketawa. Ketika itu Tuhan saja yang tahu betapa rindunya saya nak mendengar suaranya...

Oleh kerana kakak saya nak ke Mekah menunaikan fardu haji pada akhir 2004, jadi kami adik beradik yang lain mengambilalih tugas menjaga ayah. Dan saya telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan untuk menabur bakti kepada mereka. Saya ingin bersama mereka disaat akhir hayat mereka.

Kakak berangkat ke Mekah dan pada awal tahun 2005 bermulalah kehidupan baru saya. Rutin harian dengan menjaga makan minum mereka. Ayah hanya minum susu melalui penyambungan tiub dari mulut terus ke dalam rongga. Keadaan mak berjalan dengan menggunakan tongkat menyebabkan mak sukar untuk menjaga ayah. Hari demi hari berlalu ayah kian tenat. " Ya ALLAH, berilah aku sedikit kekuatan untuk menghadapi saat-saat kesedihan ini ".

Kakak telah selamat kembali dari mengerjakan fardhu haji sementara saya pula kembali bertugas pada 6 Februari 2005 setelah berakhirnya cuti tanpa gaji. Setiap hujung minggu saya akan balik kerumah kakak untuk berjumpa dengan mereka. Begitulah hari-hari berlalu. Doa tak pernah putus, semoga ayah sembuh dan mak sihat.

Sedang leka menghadapi tugas-tugas harian dipejabat, saya menerima panggilan telefon dari kakak di kampung menyatakan mak telah dimasukkan ke Hospital Nur Zahirah Kuala Terengganu pada 16 Februari 2005. " Ya, ALLAH kalaulah itu ujianMU pada hambaMU, aku menerimanya dengan redha". Setitis airmata gugur menerima perkhabaran itu. 

Setelah menyelesaikan semua urusan, keesukan harinya saya balik ke Kuala Terengganu jenguk mak dihospital. Sekali lagi saya mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga mak diward 7A1 secara bergilir-gilir dengan adik beradik kerana keadaan ayah yang terlantar  dirumah masih memerlukan penjagaan rapi dari kami.  Komplikasi jantung yang tidak stabil dan kepekatan darah menyebabkan mak koma macam ayah. Terbaring kaku, terpejam tanpa kata. 

Oleh kerana bebanan kerja yang terlalu banyak memaksa saya memendekan cuti. Saya masih ingat, saat nak meninggalkan mak, saya kucup tangan dan pipi mak. Sambil memeluk mak dan berbisik ke telinga mak, " Mak, kita balik dulu. Esuk kita kerja sebab cuti dah habis. InsyaAllah, nanti habis kerja kita balik tenguk mak". Tuhan Maha Kaya, tiba-tiba mak bersuara, " Nak balik dah ke..". Saya memeluk erat tubuh mak yang terbaring dikatil. Tanpa saya sedari, airmata bercucuran dipipi saya bila mendengar suara mak. Saya bersyukur padaMU ya ALLAH...Saya melangkah meninggalkan mak dengan perasaan terharu. 

Sebelum meneruskan perjalanan balik sempat saya jenguk ayah dirumah kakak. Keadaan ayah semakin uzur. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Saya tinggalkan ayah dengan kucupan didahi sambil membisikan kalimah 'ALLAH' di telinga ayah. "Andainya esok masih ada, insyaALLAH, kita akan berjumpa lagi ayah". Sesudah itu saya meneruskan perjalanan balik yang mengambil masa satu jam setengah untuk sampai rumah.

Keesukan harinya dengan perasaan bercampur baur saya kepejabat. Nak cuti terus terusan, meja sudah tidak nampak ruang kosong. Mengingatkan mak di hospital dan ayah dirumah yang sedang sakit, sesaat rasanya tak mahu berpisah dengan mereka. Mahu tak mahu demi tanggungjawab, saya selesaikan juga tugas-tugas yang terbengkalai dengan hati berbelah bagi. 

Sedang tekun melunasi kerja tiba-tiba telefon dimeja berdering. Tanpa lengah saya mengangkat telefon, nafas saya seakan terhenti bila mendengar suara kakak "ayah sudah tiada" Innalillahwainnalillahirojiun...ayah telah kembali ke rahmatullah pada 26 Februari 2005 (sabtu) tepat jam 12.50tengahari.

Ya ALLAH, betapa beratnya dugaan kepada hambaMU ini. Titis demi titis airmata gugur membasahi pipi. Selama dua bulan saya bersama ayah, temani ayah tapi disaat ayah menghembus nafas terakhir saya tidak ada disisi ayah. Saya redha dengan pemergian ayah. Semoga ayah tenang disana nanti.

Tanpa berlengah saya terus bergegas pulang ke kampung. Sesampainya dirumah kakak, semua sanak saudara jauh dan dekat sudah berkumpul untuk memberi penghomatan terakhir pada ayah. Hati teringat mak...ya mak.. Saya diberitahu, adik bongsu ada dihospital temani mak dan bagitahu mak yang ayah telah pergi dulu mengadap Tuhan. Berat hati nak menyampaikan berita sedih itu pada mak memandangkan kesihatan mak tidak stabil. Dengar kata adik, dalam keadaan mak terbaring kaku, mata terpejam dan tanpa suara, kelihatan ada titis airmata ditubir mata mak bila adik membisikkan ditelinga mak yang ayah telah tiada. Ajal maut jodoh pertemuan Tuhan yang tentukan. Sudah tersurat mak tidak dapat bertemu ayah ketika ayah menghembuskan nafas terakhir begitu juga dengan saya.

Ayah selamat disemadikan pada jam 6.00petang. Pada sebelah malamnya pula diadakan majlis tahlil untuk arwah ayah selama tujuh malam berturut-turut. " Ayah, aku akan merinduimu buat selama-lamanya". Al-Fatihah...Amin..

Hari demi hari berlalu sakit mak masih tidak berubah. Setiaphari doktor akan mengambil darah mak kerana kata doktor, darah mak pekat. Keadaan ini tidak membolehkan mak pulang kerumah. "Ya ALLAH, sembuhkanlah penyakit mak. Aku tak sanggup lagi tenguk mak terbaring dikatil. Aku rindu suara mak..rindu sangat". Suara hati yang sentiasa berlagu bila setiapkali menatap wajah mak. 

Begitulah rutin harian saya. Saya berulangalik dari tempat kerja ke hospital atau pun saya akan menghabiskan cuti tahunan demi untuk menjaga mak. Sehinggalah pada 8 April 2005 (Jumaat) sekali lagi saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari adik pada jam 5.00pagi menyatakan mak tenat dan dimasukan ke CCU. Saya diam terpaku..Ya ALLAH...mak....saya menjerit...

Perkhabaran yang diterima begitu meremukkan hati. Tanpa lengah saya terus mengemas pakaian. Niat dihati saya nak bercuti panjang jaga mak. Jadi terpaksalah saya lebihkan sedikit pakaian untuk dibawa bersama. Dalam kelam kabut mengemas, tiba-tiba saya dikejutkan lagi dengan perkhabaran yang baru disampaikan oleh adik, mak sudah tiada...... Ya, mak sudah pulang ke rahmahtullah tepat jam 8.30pagi pada 8 April 2005 di ward CCU Hospital Nur Zahirah Kuala Terengganu. Innalillahwainnalillahirajiun....Kali ini saya menangis lagi. Mak tinggalkan kami setelah genap 42 hari ayah pergi. Begitulah janji Tuhan, segalanya pasti. Saya tak sempat juga bersama mak disaat akhir hayat mak. " Ya ALLAH, kalaulah ini bahagianku, aku terima dengan redha. Semoga Tuhan mencucuri rahmat keatas roh mak.  Al-Fatihah...amin...amin ya Rabbalalamin".

Saya sampai dirumah kakak ketika jenazah mak baru sampai dari hospital. Sanak saudara, sahabat handai sudah memenuhi rumah untuk memberi penghormatan terakhir buat mak. Dengan bantuan seorang tukang mandi jenazah, kami empat beradik turut sama memandikan mak. Ya ALLAH, tiada lagi titis airmata yang keluar selain ketenangan dalam hati dapat memandikan mak buat kali terakhir. Mak selamat disemadikan bersebelahan dengan pusara ayah pada jam 3.30 petang. Sebelah malam kami adik beradik sepakat mengadakan tahlil selama 7 malam. Ya, ALLAH semoga roh arwah ayah dan mak damai disana....

Kini telah lapan tahun berlalu terasa baru semalam arwah ayah dan mak pergi. Sesekali bila rindu menyapa tanpa sedar airmata membasahi pipi. 

Ya ALLAH, sampaikan kerinduan saya pada mereka. Sampaikan doa-doa saya pada mereka. Ampunkanlah segala kesalahan dosa-dosa mereka. Lapangkanlah kubur mereka. Bahagiakanlah mereka dialam barzakh. Pertemukanlah kami di syurga nanti...Al Fatihah...Amin..Amin ya Rabbalalamin..

Friday 19 April 2013

WAKTU-WAKTU BEGINI

Waktu-waktu begini
Tiada lagi perlu membilang
Sekian ingatanmu
Kiranya keadaan menginginkan
Lupa segala-galanya
Dan aku antaranya

Mungkin tak seharusnya lagi
Memaksa untuk mengingati
Andai ia bagai
Musafir di jalanan
Tiba-tiba singgah berhenti lelah

Antara cebisan ingatan
Dalam hari-hari lalu
Dan beberapa saat ini
Begitulah silih berganti
Dalam melupakan
Masih ada yang mengenang



Monday 15 April 2013

PENGERTIAN

Bagaimanakah harus
Aku catatkan
Tentang sepi tentang rindu
Menjalar disetiap mimpiku
Atau
Haruskan aku
Membuka kembali lipatan mesra
Yang kau tinggalkan dilereng waktu
Serpihan masa lalu
Untuk ku jahit retak
Dihati ini
Seharusnya kita saling mengerti
Atau paling kurang
Cuba menyelam
Hakikat sebuah kedewasaan
Mengait masa depan

Sunday 14 April 2013

RINDU BERTAMU DI MEKAH

Setiapkali menatap gambar-gambar Masjidil Haram perasaan sayu dan sebak tiba-tiba mencengkam rongga hati. RINDU......rindu bertamu dihati bila setiapkali kitaran kenangan berputar diruang mata semasa menjadi tetamu ALLAH dua tahun yang lalu..







Tak terlahir dengan kata-kata.....hanya termampu bisikan syahdu memenuhi hati, " Ya, ALLAH, cantiknya Kaabah tiada tolok bandingnya. Subhanallah...."..Tiba-tiba terasa airmata luruh membasahi pipi. Seluruh tubuh terasa mengigil bila mengingati segala dosa-dosa masa silam dan kelalaian yang pernah saya lakukan.  Ya, ALLAH, ampunkanlah segala dosa-dosaku...



Segalanya masih tercatat kemas dalam lipatan hati apatah lagi bila mengingatkan tawaf wida' yang sangat menyentuh perasaan bila memandang kaabah buat kali terakhir. Sekali lagi airmata saya gugur kerana terlalu sedih untuk meninggalkan rumah ALLAH.
Ya, ALLAH, berikanlah ku kesempatan untuk menjejaki kaki kesana lagi...Amin...Amin ya Rabbalalamin...

Thursday 4 April 2013

AKULAH.......

Akulah pelangi senja
Yang menghambat siang
Dan keunguannya
Mengejar digaris langit
Dan mencari-cari warna pelangi

Akulah pengejar malam
Yang mencari bayangan
Dalam warna kelam
Dan lorong-lorong kehidupan
Bersama sebuah kehampaan

Akulah insan yang rindu
Akulah insan yang mengharap
Dan akulah insan yang gila
Jika kehilanganmu...




CUTI-CUTI SINGAPORE 2013

Setiapkali berkesempatan untuk bercuti dalam fikiran saya sudah tergambar kota singa, walau pun sering benar saya kesana. Saya tertarik dengan keunikan bandarnya yang sangat bersih, nyaman walau pun bangunan-bangunan yang mencakar langit tapi sejuk mata memandang.

Cuti-cuti saya ke Singapore kali ini bersama dengan dua orang novelis terkenal  tanahair yang sedang mencipta nama dipersada seni penulisan tanah air iaitu Indah Hairani (novel popular Dihujung Ranting) dan Fatin Nabila (novel popular Setia Hujung Nyawa). 

Untuk merealisasikan impian itu pada 1 Mac 2013 yang lalu jadilah kami pengembara dengan memilih bas ekspres untuk perjalanan dari Kuala Terengganu ke Johor Baharu. Sesekali naik bas ni seronok juga walau pun mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke destinasi. Sampai di stesen bas Larkin Johor kami disambut oleh dua orang tourist guide Rozizah( anak saudara saya yang menetap di Singapore) bersama bos yang akan membawa kami mengelilingi Pulau Temasik dengan elantra selama 4 hari 3 malam.

Kami sampai ke tempat penginapan di Hotel Penta Singapore pada jam 10.00 malam. Hotel ini berdekatan dengan Mustaffa Center sebuah pusat membeli belah terkemuka di Singapore yang dibuka 24 jam setiaphari. Perjalanan yang sangat panjang membuatkan kami keletihan yang teramat sangat menyebabkan kami tidur begitu lena sekali.

Jadual perjalanan pertama kami di Singapore bermula seawal 8. 00 pagi. Setelah selesai bersarapan pagi dengan nasi lemak Singapore ...best jugak!!...kami dibawa pusing-pusing dan snap ke Garden by the Bay@Marina Bay Singapore dan Merlion.









Selesai sesi posing-posing dan snap kami menuju ke Muzium Peranakan (Baba Nyonya) dan Muzium Art Singapore. (Maaflah ya, ketika didalam Muzium ni kami hanya dibenarkan snap tanpa memakai flash. Jadi semua gambar-gambar tak berapa cantik..). Harga tiket masuk Muzium Peranakan- $10. Begitu jugak dengan Muzium Art harga tiket - $10. Keluar dari kedua-dua muzium ni, jam sudah keangka 12.00 tengahari. Perut pun dah terasa lapar tambah pulak bahang mentari membuatkan kami keletihan. Oleh kerana co-pilot ada sedikit urusan jadi terpaksalah kami berjalan kaki dari Muzium Art ke Orchard Road. Cuti-cuti ke Singapore memang tak menjadi kalau tak jenguk Orchard Road.

Huh!!...boleh tahan juga ya, lebih kurang 20 minit berjalan kaki, kami sampai ke Lucky Plaza Orchard Road. Jom !! apa ditunggu lagi..kami berhenti rehat untuk lunch di Restoran Nasi Ayam Ojalali...memang menyelerakan dan sedap!!..Selesai lunch,  perjalanan kami teruskan dengan jelajah kedai demi kedai dan memborong sedikit cenderahati sebagai kenangan balik ke Terengganu nanti. Mengikut jadual, perjalanan kami seterusnya untuk menaiki Singapore Flyer tapi terpaksa dibatalkan kerana hujan. Jadi kami telah ubah haluan perjalanan menuju ke Bugis Street. Apa lagi.. rambang mata melihat bag tangan dan kasut begitu banyak sekali. Dalam duk tilik-tilik tu akhirnya saya tertewas dengan memborong dua bag tangan. hahaha......

Masa berlalu begitu pantas. Dengan kaki yang semakin longlai kami balik ke hotel pada jam 5.30ptg. Berihat seketika sambil baring-baring mengurut kaki...hehehe...Sebelah malam pula sebelum mengambil makan malam sempat juga kami luangkan masa cuci-cuci mata di gedung Mustafa Center. Tak larat dah kaki nak jalan-jalan lagi, akhirnya kami terus ke kedai makan. Selesai makan malam tanpa lengah kami terus balik kehotel dengan niat untuk terus tidur kerana esuk masih ada lagi destinasi yang akan kami kunjungi.










Hari kedua perjalanan kami juga bermula jam 8.00 pagi. Selesai sarapan pagi di VIVO city Harbourfront kami dibawa ke Pulau Sentosa untuk menaiki cable car. Tiket menaiki cable car berharga $26 seorang. Ya ALLAH, saya amat fobia sekali menaiki cable car kerana pengalaman menaiki cable car di Langkawi begitu menggerunkan saya. Alih tak alih saya tiada pilihan. Dalam hati tak putus-putus berdoa agar saya diberi kekuatan untuk melangkah ke dalam perut cable car dengan perasaan takut bercampur baur.



Hentian terakhir cable car di Vivocity dan tanpa berlengah kami meninggalkan tempat itu dengan seribu satu macam kenangan suka dan duka. Oleh kerana co-pilot kami ada sedikit urusan, jadi kami terpaksalah menaiki teksi bersama tourist guide menuju ke Restoran Zam Zam di Arab Street yang cukup terkenal  dengan nasi beriani. Jom kita makan dulu....

Alhamdulillah, setelah selesai lunch kami bergegas ke Masjid Sultan untuk bersolat...Syukur padaMu ya ALLAH kerana dengan izinNYA kami dapat juga menunaikan kewajipan kami di masjid yang mulia ini...

Selepas posing-posing di jalan Arab Street, co-pilot telah siap menunggu dengan elantra membawa kami ke Geylang. Berada di Geylang seolah-olah berada di Malaysia kerana dikelilingi dengan warga melayu. Seronok sangat...

Mungkin agaknya telah di takdirkan, sepatutnya perjalanan kami ke destinasi Singapore Flyer tetapi sekali lagi terpaksa ditunda kerana cuaca tak berapa baik..hari nak hujan.. Kami balik ke hotel dengan kaki yang separuh longlai...letih sangat...Sesampainya di hotel, kami terkejut besar melihat keliling kawasan lapang berhadapan hotel dibanjiri dengan masyarakat India..yang peliknya semua lelaki..Kami ingatkan ada rusuhan yang berlaku. Kami diberitahu oleh co-pilot, sebahagian masyarakat kaum India disini akan keluar beramai-ramai pada setiap hujung minggu untuk bersantai-santai. Tempat mereka santai-santai adalah disekitar Mustafa Center. Patutlah co-pilot cakap, dia tidak datang ke Mustafa Center pada setiap Ahad. Hehehe....



Sebelah malamnya pula kami dijamu oleh co-pilot di sebuah restoran masakan panas. Memang sedap sangat...best!!..kami tak sempat nak snap lauk-lauk yang dihidangkan kerana perut perlu diisi segera..hehehe... Alhamdulillah....kenyangnya...terima kasih co-pilot (Mr. Samba) kerana belanja kami makan... Untuk meredakan kekenyangan tu, kami dibawa ronda-ronda Singapore melihat kerlipan lampu-lampu neon diwaktu malam. Tempat yang kami tuju adalah Cangi International Airport. Lapangan Terbang Cangi adalah diantara 10 yang tersenarai terbaik didunia dan merupakan salah satu lokasi membeli belah terbesar di Singapore. Terpegun dan tertarik melihat rekabentuknya..cantik dan mewah!!....Kami tinggalkan Cangi dengan seribu satu kenangan manis...Kami sampai di hotel lewat jam 11.30 malam. Letih tahap gaban...Kami terpaksa tidur awal kerana esuk awal pagi kami harus bertolak pulang ke Malaysia dengan menaiki bas ekspres dari Johor ke Kuala Terengganu
















Alhamdulilah, kami selamat sampai di bumi Terengganu pada jam 8.30 malam. Seharian didalam bas memang memenatkan tapi kami gembira mengutip kenangan cuti-cuti di Singapore kali ini.

Terima kasih saya pada kedua-dua novelis Indah Hairani dan Fatin Nabila yang setia kongsi kegembiraan cuti-cuti Singapore kali ini.  Saya harapkan semoga kenangan indah ini akan terus kekal dan dapat memberikan satu inspirasi baru untuk novel baru kalian. Pada tourist guide (Rozizah) dan co-pilot (Mr.Samba) terima kasih banyak-banyak. Perancangan kalian untuk trip ini begitu baik sekali. Tanpa bantuan kalian, kami tidak mungkin dapat merealisasikan impian dan angan-angan untuk cuti-cuti singapore kali ini. Terima kasih daun keladi..









Sunday 31 March 2013

CATATAN 4

Sebuah pertemuan:
Teman, telah lama ku pujuk hatiku ini agar melupakan saja wajahmu dari benak ku. Tapi setelah sekian lama hati ku bertahan untuk tidak mengingatimu, tiba-tiba kau muncul kembali dalam sebuah pertemuan yang tidak pernah kita rencanakan.

Walau pun bertahun kita tak bertemu namun kau masih seperti dulu. Senyummu, sikap ramahmu dan yang paling sukar untuk aku melupakanmu ialah sikap hormatmu padaku. 

Datangmu didetik itu tidak ubah bagaikan seekor rama-rama yang hinggap dijendela. Dan pergimu terbang jauh diawan, dikala aku tidak punyai apa-apa persediaan untuk menghantari pemergianmu. 

Teman, jangan kau sangka bahawa hati ini tidak mengingatimu. Jujurnya, aku sentiasa mengenangmu. Malah masih ku ingat lagi segala kenangan indah sewaktu kita bersama dulu. Semuanya masih tercatat kemas dalam dairi hatiku. Sesungguhnya jauh dari sudut hatiku, aku masih mengingatimu. Ianya menjadi sesuatu yang amat menyakitkan untuk aku membencimu.

Teman, aku sesungguhnya gembira bila mendengar berita tentang kebahagiaanmu. Tidak ada sesuatu yang paling membahagiakan hatiku melainkan melihat kau berbahagia. Doaku sentiasa mengiringi kebahagiaan hidupmu. Lakukanlah apa saja asalkan hidupmu senang. Aku relakan jika kau dapat melupakan aku dan jika itulah jua jalannya untuk kau nikmati kebahagiaan itu. Aku sedar betapa besarnya cintamu. Aku tahu bagaimana luhur dan sucinya kasihmu terhadap diriku. Tapi kita hanya manusia biasa teman. Makhluk kerdil seperti kita hanya mampu merancang sedang hasilnya adalah ketentuan ALLAH. Itulah yang dinamakan Takdir...ya TAKDIR..tidak mampu untuk kita engkar.

Teman, bukan kau seorang yang merasai pedihnya hati. Perpisahan itu bukan kehendak kita. Kau adalah sinar hidupku masakan aku sanggup memadamkannya. Tapi demi meraih sejalur kebahagiaan, pengorbanan ini perlu kita lakukan. Berbahagialah teman...hanya itu yang mampu aku doakan...

Kalau aku ini aku
Hati sebenarnya sudah lama luka
Harapan sudah lama hancur
Kenangan sudah lama berkecai... 

HARAPAN SEORANG KEKASIH

Disudut kamar hati
Sebutir rindu
Jatuh di ribaku
Yang gugurnya
Satu-satu

Disudut kamar hati
Secebis kasih
Jatuh di dadaku
Satu-satu
Dari titis-titis airmata

Disudut kamar hati
Segenggam janji
Segunung harapan
Ku pahatkan dalam dada
Untuk cebis-cebis kasih
Untuk butir-butir rindu
Buat seorang kekasih


Sunday 17 March 2013

CATATAN 3

Ingatan buat Dia......

Diwaktu-waktu begini

Sepi adalah kepedihan
Memercup segala ingatan
Menghantar segala kepiluan

Diwaktu-waktu begini

Sepi adalah kedukaan
Yang mengelirukan perasaan

Demi Tuhan, walau pun musim berganti namun hingga saat ini aku masih mengingatimu. Puas aku cuba untuk melupakan segalanya tentang dirimu, tapi ternyata aku gagal. Kekuatan jiwaku belum cukup untuk membuang terus ingatanku terhadap dirimu..Bulan, bintang, pepohon hijau yang dihembus bayu, harum bunga ditaman, semuanya mengembalikan segala kenangan itu..

Setelah ku hirup seteguk kasih
Dari gelas setiamu yang retak
Duka pun meluruh
Sebutir mutiaraku yang gugur
Dipelabuhan sepi ini
Adalah setulus tinta kenangan
Yang tak mungkin berulang
Lalu
Secebis harapan pun rebah
Dalam rindu yang punah...

Saturday 16 March 2013

KEHANCURAN

Akan ku anyam sehelai tikar duka
Buat aku duduk sejenak
Mengenang masa-masa lalu
Ku kumpulkan
Dari helaian mengkuang berduri
Yang pernah menikam tapak kaki ini
Pedih terasa!...
Pasti tidak ku buang jauh-jauh
Dari belantara harapan yang punah
Dan ku semai jua
Dikolam airmata
Yang mengalir
Buat mengenang sebuah hati
Yang punah




Friday 15 March 2013

BAGAIMANA...

Bagaimana akan ku belai
Sekuntum bunga cinta
Dengan jari yang luka

Bagaimana akan ku kucup
Keharuman kelopak kasih
Dengan bibir yang parah

Bagaimana nanti akan ku cipta
Selembar mesra rindu
Dengan hati yang berdarah

Bagaimana akan ku teguk kembali
Segumpal keyakinan impian
Untuk memenuhi ruang kesangsian

Bagaimana dan bagaimana nanti
Sedangkan suara hati
Masih lagi sudi
Berbicara bahasa rindu

Saturday 23 February 2013

BICARA RESAH

Dihujung sepi ini
Ada sebutir rindu
Telah jatuh diribamu
Lalu kau biarkan
Rinduku bertabur dimana-mana

Disudut rindu ini
Ada segunung resah
Bertamu dihatimu
Lalu kau biarkan
Resahku bertabur dimana-mana

Dalam sepi dan rindu
Kau biarkan jua
Aku mengajar bayangmu
Sampai bila-bila


Sunday 17 February 2013

IZINKAN AKU

Kekasih
Izinkan aku
Mengutip serpihan luka
Untuk ku jahit
Retak dihatimu
Dengan selajur cintamu

Kekasih
Izinkan aku
Memintal selembar impian
Dengan bait-bait puisiku
Menyelimuti mimpi
Diranjang bahagia



Thursday 14 February 2013

SURAT

Sesekali aku merasakan begitu perlu
Menulis padamu
Bertanya tentang hari-hari lalu
Atau hanya menyampaikan salam

Barangkali kini 
Kau pun punya berbagai berita
Mungkin juga pengalaman lalu
Alangkah baiknya kita dipertemukan kembali
Bercerita sebagaimana dulu
Tentang kau dan aku

Perpisahan lalu amat mengguris rasa
Sedang pertemuan sedemikian sukar
Untuk diduga
Adakah bakal ketemu lagi suatu waktu
Atau pun terus begini
Selamanya bersama kenangan yang haru

Siapakah kita kalau tidak tahu merasa
Diantara waktu yang terus berlari
Ada kenangan yang mendakap hati
Aku merindui masa lalu kita
Yang begitu menyenangkan

Salam untukmu
Semoga kita terus bersama
Meski pun hanya dilewat ingatan