Monday 31 December 2012

CATATAN HUJUNG MUSIM

Detik demi detik, hari demi hari hingga bulan demi bulan telah mengusung banyak cerita suka dan duka tapi biarlah segalanya menjadi kenangan yang terpahat dihati.

Masa lalu adalah kenangan. Masa kini adalah kenyataan. Masa depan adalah harapan. Selamat tinggal kenangan. Selamat datang harapan. Selamat datang 2013. Tahun baru, harapan baru dan semangat baru. Syukur padaMu ya ALLAH....

Kita tinggalkan taman
Kerana musimnya telah berakhir
Biar pun terpaksa meredah
Tebing-tebing sepi
Lereng-lereng terharu
Dan gunung-gunung rindu

Sambil membilang pohon-pohon peristiwa
Yang terpacak disepanjang kenangan
Dan sebuah nostalgia
Pasti menggelepar 
Dalam taman rindu

CATATAN 1

Sepanjang malam aku merenangi beningmu. Sebelum tertidur aku mengorbankan banyak waktu kerana ingatan dan nostalgia lalu menghantui segenap ruang benak. Kerana kedegilan seorang lelaki tersungkur dikaki pun aku rebahkan ketul hatiku dipenjuru cintamu hanya untuk merasai kecewa dan seterusnya membenci erti cinta

Sepanjang malam aku meraba raut wajah yang pernah bersemadi seakan ianya hampir dan semakin hampir meramas-ramas dan menghalauku dari ruang kehidupan ini.

Kini ku hanyutkan citaku kelaut lepas mencari suatu waktu untuk ku buktikan : aku sebenarnya masih rindukan kebahagiaan dalam kehidupan yang mematikan ini. Kerana sering ku doakan : KEMATIAN ATAS PUSARA INI ADALAH RASA CINTA KEBAHAGIAAN MU SEBAGAI SAUDARA.

Duhai malam! kini aku takut menatap wajahmu. Kerana kesepianmu yang membengkam sering membunuh harapanku untuk menjalani sisa-sisa hidup yang masih belum ketentuan akhirnya. Sepimu belum mampu ku tinggalkan walau sekian lama hati ini ditelan kedukaan yang maha pedih. 

Lewat waktu begini nostalgiamu sering mengiringi irama mimpiku yang belum lapuk ditelan waktu malah masih mampu berdendang lagu-lagu rindu yang mengisi ruang-ruang sempit hati ini...

Sunday 30 December 2012

AL-FATIHAH...

Ketika sedang minum pagi, saya dikejutkan dengan berita sedih. Tanpa sedar titis demi titis air mata membasahi pipi. Innalillahiwainnalillahirojiun. Al - Fatihah buat allahyarham Rahim bin Ismail yang meninggal semalam dan allahyarham Ahmad Sukri (Zul) bin Ibrahim yang meninggal jam 3.00 pagi 30 Disembr 2012.

Dua orang sahabat yang banyak membantu saya dalam pengurusan Bas Ekspres Tasik Kenyir sewaktu saya masih dalam jabatan.

Kita sama-sama berganding bahu, susah dan senang bersama demi memajukan syarikat terutamanya pengurusan Bas Ekspres Tasik Kenyir. Dimusim-musim perayaan kita sama-sama bersengkang mata demi memastikan bas-bas tidak mengalami kerosakan. Sehingga satu saat yang tidak dapat saya lupakan, ketika membuat pantauan jualan tiket bas dimusim perayaan di Hentian Putra Kuala Lumpur. Segala memori indah itu masih terpahat dalam ingatan.

Sambil menangis arwah Zul bersuara "Kak doakan saya sihat. Saya kena kuat demi anak-anak dan isteri. Saya sentiasa ingat pesanan kak".   Kata-kata arwah (Zul) seakan bergema dalam ingatan ketika kali terakhir bertemu dengannya awal tahun 2012. Ya ALLAH, sesungguhnya jauh dari sudut hati, saya terkilan sangat tak dapat ketemu kalian buat kali terakhir. 

 Untuk arwah saya hadiahkan sekalung Al-Fatihah. Semoga roh keduanya tenang dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman dan para syahadah. 
Al-Fatihah - amin...amin ya rabbalamin....


Sunday 23 December 2012

MAAF

Maaf
Kalau aku berdiri 
Disebelahmu
Bagai pengantin malam
Tersipu malu
Ditengah keramaian
Yang pasti melirik senyum
Pada kita berdua

Maaf
Sebenarnya
Surat cintamu itu
Terlalu payah untukku balas




Friday 21 December 2012


Intai-intailah resah dihujung tenangku
Resah yang menyala didalam dada
Cari-carilah gelisah dipinggir mesraku
Gelisah yang suram kehilangan pedoman
Lantaran....
Aku tidak bisa meneka
Dimana tersembunyi rahsia ramahmu
Jua aku tidak bisa meramal
Bagaimana dalamnya
Ketulusan budimu




Bismillaahirrahmaanirrahim
(Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang)


Ya ALLAH
 Bukakanlah untukku pintu-pintu kebaikan, pintu-pintu kesihatan, pintu-pintu keberkatan, pintu-pintu kesabaran, pintu-pintu kasih sayang, pintu-pintu keampunan dan pintu-pintu syurga

Ya ALLAH
 Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Engkaulah yang Maha Pengabul doa dan permintaan hamba-hambamu
Amin....Amin Ya Rabbal Alamin......



Tuesday 18 December 2012

KEHADIRAN

Sesudah bertahun
Tiba-tiba kau datang lagi
Dengan sekuntum mawar merah
Dihujung senja
Lalu
Kau berbicara
Tentang kesetiaan
- Kejujuran
- Pengorbanan
Dan yang lebih dari itu
Sebuah harapan

Kehadiran
Apalah ertinya
Kalau hanya harumnya mawar
Yang sudah lama mati....


Monday 17 December 2012

AKUKAH ITU?......

Diwaktu-waktu begini
Sepi adalah kepedihan
Memercup segala ingatan
Menghantar segala kepiluan

Diwaktu-waktu begini
Sepi adalah kedukaan
Yang mengelirukan perasaan

Diwaktu-waktu begini
Akukah itu?...
Yang berlagu sepi bernada sayu
Pada ombak, angin dan bulan
Ku hempaskan duka

Diwaktu-waktu begini
Ketika bulan dan bintang
Menampakkan diri
Aku berdiri dipinggir lamunan
Merenung dasar rindu
Yang semakin jauh

Maafkan aku
Kerana tewas digelanggang rindu itu...



BICARA TENTANG NOVEL

Kalau berbicara tentang novel, rasanya saya tak nak ketinggalan untuk mengupas novel-novel yang telah saya baca. Seusia remaja lagi saya suka membaca dan mengumpul novel dari penulis-penulis tanah air yang saya kagumi. Tak kiralah siapa pun penulisnya, janji novelnya dapat memikat hati saya. 
Tapi semenjak dua menjak ni saya cukup sinonim membaca novel-novel dari penulis yang sedang mencipta nama dipersada seni sastera tanah air iaitu INDAH HAIRANI. Saya suka membaca novel-novel beliau dan tertarik dengan gaya bahasa yang digarapkan.
Membaca novel-novel beliau seringkali membuatkan jiwa saya sakit. Saya terjerat dengan permainan emosi yang kadangkala amat mengguriskan hati.
- RINDU BERBISIK
- HANYA SEBATAS INI
- DIHUJUNG RANTING
- CASTLE CINTA DEADAY
- BERIKAN AKU RINDU
- DIHUJUNG RANTING 2
Enam buah novel beliau telah saya baca dan jujurnya, ketika penghayatan saya tidak pernah melangkau walau satu baris ayat pun. Konflik jiwa yang tidak terurai antara watak-watak utama terutamanya novel BERIKAN AKU RINDU membuatkan hati saya terus dilanda benci, simpati, rindu dan menyakitkan. Begitu jugak dengan novel RINDU BERBISIK, HANYA SEBATAS INI, CASTLE CINTA DEADAY, DIHUJUNG RANTING 1 & 2. Sukar untuk saya luahkan namun yang pastinya ada secalit rindu, sejalur resah, sekelumit cinta dan bisik-bisik simpati dalam jiwa.
Adunan perasaan ini bercantum menjadi satu yang mana akhirnya saya tewas apabila titis demi titis airmata saya gugur membasahi pipi. Tak hairanlah jika novel RINDU BERBISIK terbitan DBP meraih anugerah buku terbaik kategori remaja tahun 2008.
Tahniah Indah Hairani...saya suka novel-novel anda. Anda menulis dari jiwa yang jujur. Pengolahan bahasa yang ringkas tapi mendalam. Teruskan menulis...garapkan ilham didada kanvas..semoga novel-novel anda akan terus dicintai....



Sunday 16 December 2012

PERTEMUAN

Pertemuan 
Dihujung minggu itu
Adalah satu kebetulan
Atas kesedaran dalam kerinduan

Kita adalah selalu menjadi perindu
Yang tiada kepuasan
Bagai satu penantian
Dalam keresahan

Lalu sekarang kita mengkaji
Dan menilai
Hati dan jiwa
Patutkah!...
Perlukah!...
Atau tempat ketemu itu
Aku catatkan saja
Dalam tulisan begini
Dan kita pun sama mengenangnya

Tuesday 11 December 2012

ADAKALANYA.....

Adakalanya
Aku begitu mengingatimu
Adakalanya
Aku begitu menyayangimu
Adakalanya
Aku begitu merinduimu
Dan adakalanya
Aku begitu sayu
Bila lama tak bertemu


Tuesday 4 December 2012

RINDU

Diantara kita
Yang masih mekar disini
Adalah ingatan
Menyingkap tabir waktu
Menyimpul diantara mesra dan duka
Membendung diantara resah dan rindu
Dimusim perpisahan

Diantara kita
Yang tertinggal
Hanyalah wajah-wajah rindu
Memburu resah
Hingga kehujung dunia

Saturday 1 December 2012

KALAU IRAMA ITU SAMPAI PADAMU

Setiapkali irama itu keudara
Setiap itulah juga ingatanku
Jatuh padamu
Terkenang....
Betapa kau pernah mengkaguminya
Dan bila kita akan berpisah
Kau bisikan lagu itu
Hadiah pertemuan kita
Lalu bila aku jauh darimu
Irama itu terasa mendekatkan
Rindu pun jadi pilu
Dan aku ingin menangisi
Detik-detik perpisahan

Kalau irama itu dibawa bayu
Lalu sampai padamu
Sedarlah...
Itulah rinduku yang parah
Melangkau bukit
Tasik
Untuk menyapa hatimu

Dari perlembahan yang sepi ini
Bayangkanlah aku
Yang meniti jalan-jalan sepi
Tanpa tawa dan sapamu
Yang merenung kejernihan tasik
Walau betapa payahnya

Kalau ada ruang dihatimu
Untuk kau tempatkan rinduku
Datanglah....
Kita akan sama-sama meneroka
Lembah sepi
Sama-sama merenung tasik
Dan ajaklah aku berbicara
Tentang apa pun
Pasti sepi akan mati
Dan rindu pun terbayar

BEGINI AKHIRNYA

Sekuntum senyummu
Adalah rindu bertahun
Mengalir direkahan bibir
Antara kita
Tidak pernah diketemukan 
Pada ilusi indah
Menyelongkari senyum
Menilai erti perjanjian
Lalu kita pun tiba dititik pertemuan
Mencari sebuah makna
Dalam ungun-ungun kenangan
Atau menjadi patuh
Kerana kita
Telah begitu akrab