Monday 31 December 2012

CATATAN HUJUNG MUSIM

Detik demi detik, hari demi hari hingga bulan demi bulan telah mengusung banyak cerita suka dan duka tapi biarlah segalanya menjadi kenangan yang terpahat dihati.

Masa lalu adalah kenangan. Masa kini adalah kenyataan. Masa depan adalah harapan. Selamat tinggal kenangan. Selamat datang harapan. Selamat datang 2013. Tahun baru, harapan baru dan semangat baru. Syukur padaMu ya ALLAH....

Kita tinggalkan taman
Kerana musimnya telah berakhir
Biar pun terpaksa meredah
Tebing-tebing sepi
Lereng-lereng terharu
Dan gunung-gunung rindu

Sambil membilang pohon-pohon peristiwa
Yang terpacak disepanjang kenangan
Dan sebuah nostalgia
Pasti menggelepar 
Dalam taman rindu

CATATAN 1

Sepanjang malam aku merenangi beningmu. Sebelum tertidur aku mengorbankan banyak waktu kerana ingatan dan nostalgia lalu menghantui segenap ruang benak. Kerana kedegilan seorang lelaki tersungkur dikaki pun aku rebahkan ketul hatiku dipenjuru cintamu hanya untuk merasai kecewa dan seterusnya membenci erti cinta

Sepanjang malam aku meraba raut wajah yang pernah bersemadi seakan ianya hampir dan semakin hampir meramas-ramas dan menghalauku dari ruang kehidupan ini.

Kini ku hanyutkan citaku kelaut lepas mencari suatu waktu untuk ku buktikan : aku sebenarnya masih rindukan kebahagiaan dalam kehidupan yang mematikan ini. Kerana sering ku doakan : KEMATIAN ATAS PUSARA INI ADALAH RASA CINTA KEBAHAGIAAN MU SEBAGAI SAUDARA.

Duhai malam! kini aku takut menatap wajahmu. Kerana kesepianmu yang membengkam sering membunuh harapanku untuk menjalani sisa-sisa hidup yang masih belum ketentuan akhirnya. Sepimu belum mampu ku tinggalkan walau sekian lama hati ini ditelan kedukaan yang maha pedih. 

Lewat waktu begini nostalgiamu sering mengiringi irama mimpiku yang belum lapuk ditelan waktu malah masih mampu berdendang lagu-lagu rindu yang mengisi ruang-ruang sempit hati ini...

Sunday 30 December 2012

AL-FATIHAH...

Ketika sedang minum pagi, saya dikejutkan dengan berita sedih. Tanpa sedar titis demi titis air mata membasahi pipi. Innalillahiwainnalillahirojiun. Al - Fatihah buat allahyarham Rahim bin Ismail yang meninggal semalam dan allahyarham Ahmad Sukri (Zul) bin Ibrahim yang meninggal jam 3.00 pagi 30 Disembr 2012.

Dua orang sahabat yang banyak membantu saya dalam pengurusan Bas Ekspres Tasik Kenyir sewaktu saya masih dalam jabatan.

Kita sama-sama berganding bahu, susah dan senang bersama demi memajukan syarikat terutamanya pengurusan Bas Ekspres Tasik Kenyir. Dimusim-musim perayaan kita sama-sama bersengkang mata demi memastikan bas-bas tidak mengalami kerosakan. Sehingga satu saat yang tidak dapat saya lupakan, ketika membuat pantauan jualan tiket bas dimusim perayaan di Hentian Putra Kuala Lumpur. Segala memori indah itu masih terpahat dalam ingatan.

Sambil menangis arwah Zul bersuara "Kak doakan saya sihat. Saya kena kuat demi anak-anak dan isteri. Saya sentiasa ingat pesanan kak".   Kata-kata arwah (Zul) seakan bergema dalam ingatan ketika kali terakhir bertemu dengannya awal tahun 2012. Ya ALLAH, sesungguhnya jauh dari sudut hati, saya terkilan sangat tak dapat ketemu kalian buat kali terakhir. 

 Untuk arwah saya hadiahkan sekalung Al-Fatihah. Semoga roh keduanya tenang dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman dan para syahadah. 
Al-Fatihah - amin...amin ya rabbalamin....


Sunday 23 December 2012

MAAF

Maaf
Kalau aku berdiri 
Disebelahmu
Bagai pengantin malam
Tersipu malu
Ditengah keramaian
Yang pasti melirik senyum
Pada kita berdua

Maaf
Sebenarnya
Surat cintamu itu
Terlalu payah untukku balas




Friday 21 December 2012


Intai-intailah resah dihujung tenangku
Resah yang menyala didalam dada
Cari-carilah gelisah dipinggir mesraku
Gelisah yang suram kehilangan pedoman
Lantaran....
Aku tidak bisa meneka
Dimana tersembunyi rahsia ramahmu
Jua aku tidak bisa meramal
Bagaimana dalamnya
Ketulusan budimu




Bismillaahirrahmaanirrahim
(Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang)


Ya ALLAH
 Bukakanlah untukku pintu-pintu kebaikan, pintu-pintu kesihatan, pintu-pintu keberkatan, pintu-pintu kesabaran, pintu-pintu kasih sayang, pintu-pintu keampunan dan pintu-pintu syurga

Ya ALLAH
 Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Engkaulah yang Maha Pengabul doa dan permintaan hamba-hambamu
Amin....Amin Ya Rabbal Alamin......



Tuesday 18 December 2012

KEHADIRAN

Sesudah bertahun
Tiba-tiba kau datang lagi
Dengan sekuntum mawar merah
Dihujung senja
Lalu
Kau berbicara
Tentang kesetiaan
- Kejujuran
- Pengorbanan
Dan yang lebih dari itu
Sebuah harapan

Kehadiran
Apalah ertinya
Kalau hanya harumnya mawar
Yang sudah lama mati....


Monday 17 December 2012

AKUKAH ITU?......

Diwaktu-waktu begini
Sepi adalah kepedihan
Memercup segala ingatan
Menghantar segala kepiluan

Diwaktu-waktu begini
Sepi adalah kedukaan
Yang mengelirukan perasaan

Diwaktu-waktu begini
Akukah itu?...
Yang berlagu sepi bernada sayu
Pada ombak, angin dan bulan
Ku hempaskan duka

Diwaktu-waktu begini
Ketika bulan dan bintang
Menampakkan diri
Aku berdiri dipinggir lamunan
Merenung dasar rindu
Yang semakin jauh

Maafkan aku
Kerana tewas digelanggang rindu itu...



BICARA TENTANG NOVEL

Kalau berbicara tentang novel, rasanya saya tak nak ketinggalan untuk mengupas novel-novel yang telah saya baca. Seusia remaja lagi saya suka membaca dan mengumpul novel dari penulis-penulis tanah air yang saya kagumi. Tak kiralah siapa pun penulisnya, janji novelnya dapat memikat hati saya. 
Tapi semenjak dua menjak ni saya cukup sinonim membaca novel-novel dari penulis yang sedang mencipta nama dipersada seni sastera tanah air iaitu INDAH HAIRANI. Saya suka membaca novel-novel beliau dan tertarik dengan gaya bahasa yang digarapkan.
Membaca novel-novel beliau seringkali membuatkan jiwa saya sakit. Saya terjerat dengan permainan emosi yang kadangkala amat mengguriskan hati.
- RINDU BERBISIK
- HANYA SEBATAS INI
- DIHUJUNG RANTING
- CASTLE CINTA DEADAY
- BERIKAN AKU RINDU
- DIHUJUNG RANTING 2
Enam buah novel beliau telah saya baca dan jujurnya, ketika penghayatan saya tidak pernah melangkau walau satu baris ayat pun. Konflik jiwa yang tidak terurai antara watak-watak utama terutamanya novel BERIKAN AKU RINDU membuatkan hati saya terus dilanda benci, simpati, rindu dan menyakitkan. Begitu jugak dengan novel RINDU BERBISIK, HANYA SEBATAS INI, CASTLE CINTA DEADAY, DIHUJUNG RANTING 1 & 2. Sukar untuk saya luahkan namun yang pastinya ada secalit rindu, sejalur resah, sekelumit cinta dan bisik-bisik simpati dalam jiwa.
Adunan perasaan ini bercantum menjadi satu yang mana akhirnya saya tewas apabila titis demi titis airmata saya gugur membasahi pipi. Tak hairanlah jika novel RINDU BERBISIK terbitan DBP meraih anugerah buku terbaik kategori remaja tahun 2008.
Tahniah Indah Hairani...saya suka novel-novel anda. Anda menulis dari jiwa yang jujur. Pengolahan bahasa yang ringkas tapi mendalam. Teruskan menulis...garapkan ilham didada kanvas..semoga novel-novel anda akan terus dicintai....



Sunday 16 December 2012

PERTEMUAN

Pertemuan 
Dihujung minggu itu
Adalah satu kebetulan
Atas kesedaran dalam kerinduan

Kita adalah selalu menjadi perindu
Yang tiada kepuasan
Bagai satu penantian
Dalam keresahan

Lalu sekarang kita mengkaji
Dan menilai
Hati dan jiwa
Patutkah!...
Perlukah!...
Atau tempat ketemu itu
Aku catatkan saja
Dalam tulisan begini
Dan kita pun sama mengenangnya

Tuesday 11 December 2012

ADAKALANYA.....

Adakalanya
Aku begitu mengingatimu
Adakalanya
Aku begitu menyayangimu
Adakalanya
Aku begitu merinduimu
Dan adakalanya
Aku begitu sayu
Bila lama tak bertemu


Tuesday 4 December 2012

RINDU

Diantara kita
Yang masih mekar disini
Adalah ingatan
Menyingkap tabir waktu
Menyimpul diantara mesra dan duka
Membendung diantara resah dan rindu
Dimusim perpisahan

Diantara kita
Yang tertinggal
Hanyalah wajah-wajah rindu
Memburu resah
Hingga kehujung dunia

Saturday 1 December 2012

KALAU IRAMA ITU SAMPAI PADAMU

Setiapkali irama itu keudara
Setiap itulah juga ingatanku
Jatuh padamu
Terkenang....
Betapa kau pernah mengkaguminya
Dan bila kita akan berpisah
Kau bisikan lagu itu
Hadiah pertemuan kita
Lalu bila aku jauh darimu
Irama itu terasa mendekatkan
Rindu pun jadi pilu
Dan aku ingin menangisi
Detik-detik perpisahan

Kalau irama itu dibawa bayu
Lalu sampai padamu
Sedarlah...
Itulah rinduku yang parah
Melangkau bukit
Tasik
Untuk menyapa hatimu

Dari perlembahan yang sepi ini
Bayangkanlah aku
Yang meniti jalan-jalan sepi
Tanpa tawa dan sapamu
Yang merenung kejernihan tasik
Walau betapa payahnya

Kalau ada ruang dihatimu
Untuk kau tempatkan rinduku
Datanglah....
Kita akan sama-sama meneroka
Lembah sepi
Sama-sama merenung tasik
Dan ajaklah aku berbicara
Tentang apa pun
Pasti sepi akan mati
Dan rindu pun terbayar

BEGINI AKHIRNYA

Sekuntum senyummu
Adalah rindu bertahun
Mengalir direkahan bibir
Antara kita
Tidak pernah diketemukan 
Pada ilusi indah
Menyelongkari senyum
Menilai erti perjanjian
Lalu kita pun tiba dititik pertemuan
Mencari sebuah makna
Dalam ungun-ungun kenangan
Atau menjadi patuh
Kerana kita
Telah begitu akrab

Saturday 24 November 2012

MENU KELASIK

Setiapkali saya masak lauk ini untuk hidangan tengahari, pasti menggamit kenangan silam. Arwah ayah dan mak saya pun memang gemar sangat lauk ni...Nak tahu!!...
  

















Haa..ni dia, " sayur rambai "..memang membangkitkan selera apa lagi kalau ada sambal belacan dan ikan kering masin. Maaf ya..nama lauk sayur rambai ni telah saya komesialkan menjadi "Sayur Rambai Dihujung Ranting".. Kenapa pulak?...

Saya suka baca novel. Dihujung Ranting salah satu novel hasil karya dari penulis kegemaran saya iaitu Indah Hairani. Makan nasi Sayur Rambai Dihujung Ranting sambil baca novel...memang selera!!...





Friday 23 November 2012

PENGHUJUNG RINDU

Ditepian pantai ini
Ombak membiru
Angin menderu
Sambil duduk-duduk
Aku masih mencari
Sayap bicaramu yang lalu
Dimalam sepi
Angin dingin
Dan disini
Dipantai ini
Aku kian bisu
Oleh sejuta rindu yang berlalu
Dan untuk seketikanya
Izinkan sayangku
Mengutip sisa-sisa rindu
Mentafsir erti kasih
Pun untuk kita
Aku pasti mengharap

Thursday 22 November 2012

CATATAN SEORANG SAYA

Assalamualaikum wbt....Dengan izin ALLAH akhirnya saya dapat juga merealisasikan impian untuk mengaktifkan blog saya sendiri. Terima kasih pada yang menyokong dan menjadi tulang belakang hingga terbinanya blog ini. Walau pun masih banyak kekurangannya namun saya bersyukur kehadrat ALLAH kerana diberi peluang untuk sama-sama berkongsi rasa meluahkan apa yang tersirat dihati. Segala suka duka semuanya terkumpul menjadi sebuah kenangan yang sukar untuk dipisahkan dari kehidupan.
Seusia 15 tahun, saya sudah mula meminati dunia penulisan dan pernah menanam impian untuk menjadi seorang penulis. Tapi minat dan impian saya terkubur setelah saya memasuki alam pekerjaan. Masa merubahkan segalanya. Saya terlalu komited dengan tugasan harian. Bayangkanlah, waktu pejabat hanya 8 jam sehari tapi saya mengambil masa sehingga 12 jam sehari berada dipejabat demi melunasi tugas-tugas yang tak pernah ada kesudahannya. Segalanya saya lakukan demi rasa tanggungjawab dan cinta saya pada kerja. Rupanya dunia korporat telah banyak merubahi kehidupan saya. Kalau dulu, saya menulis dengan bahasa yang berbunga-bunga tapi dunia korporat apa yang saya tulis dan hafal hanya angka...angka...angka...itulah rutin harian saya...
Kini dunia korporat saya tinggalkan...Nyaman kehidupan saya tanpa dibelenggu dengan masalah-masalah pejabat yang kadangkala memenatkan. Cinta pada dunia penulisan kembali berputik dalam jiwa. Saya kembali bercinta dengan puisi-puisi, coretan hati, cerpen dan apa saja yang terlukis dihati. InsyaALLAH, dengan izinNYA jua, saya ingin kembali menulis.
Kepada sesiapa yang sudi bersama saya, ajarlah saya agar tidak terjatuh lagi. Bangunkan saya dari lena yang panjang. Pinjamkan saya ilham untuk saya canangkan menjadi sebuah coretan....

TERINGAT PADAMU

Teringat padamu
Adalah kerana rindu
Yang semakin pilu
Dan sayu
Meramas kalbu
Dari gumpalan kenangan syahdu

Teringat padamu
Adalah kerana cinta
Yang begitu menebal
Bagai tak terbelah
Sebuah lautan
Yang dalam
Teringat padamu
Adalah kerana sayang
Yang semakin rimbun
Dalam Kalbu
Dari sebuah pertemuan
Yang mesra merangkaikan janji

Teringat padamu
Kerana disitulah pusat kasih
Rumpunan rindu
Sebuah taman
Yang harum dengan bunga-bunga

Tuesday 6 November 2012

AKULAH OMBAK...

 (Buat dia yang sering mengganggu lenaku)

Telah sekian lama
Aku menjadi ombak
Menari dipantai ini
Tanpa lagu dan muzik
Serta nyanyi-nyanyi
Lalu kau 
Laut yang sepi
Dipantai ini
Bila ombak berhenti menari
Dan kau menjadi sepi

SUDIKAH?.....

Seandainya kita dipertemukan kembali
Dipelabuhan sepi ini
Adakah kau sudi bersamaku?
Melihat camar berligar
Bermain ombak sambil mendengar siulan angin
Masih sudikah kau?
Menikmati keindahan pantai
Ditengah lautan biru
Sambil bermesra ditengah samudera
Sudikah kau?
Menerima rindu memeluk kasih
Yang bergetar dihati
Bergegar disukma
Atau meskikah berpaling kasih
Dan mematahkan sayang
Duhai bayu bawalah rinduku
Harungilah saujana benua
Sampaikan padanya
Kabarkanlah tentang diriku
Tentang hatiku
Dan tentang cintaku
Cerminkanlah aku disini yang bersimpuh
Mengadap fajar menyingsing
Layangkanlah secebis doa
Agar kita bisa ketemu
Walau pun hanya didalam mimpi

Friday 26 October 2012

KALAULAH...

Kalau malam itu bisa bersuara
Tentu telah lama ia berlagu
Pilu
Kerana malam itu rupanya
Tetap kelam
Dan tidak akan berseri-seri
Seperti dulu
Kalau malam itu bisa mengerti
Hati yang retak seribu
Pasti telah banyak
Airmatanya tumpah
Kerana malam itu
Akan lebih sempati dari manusia
Yang cepat berubah

Monday 1 October 2012

Angin


Angin rindu yang berhembus
Bergumpal dalam kelongsong cinta
Lalu berhembus
dan mengalir ditubir hati.....


Tambah kapsyen

Keresahan


Berkali ku cuba melangkah
Untuk satu keberangkatan
Meninggalkan pelabuhan kenangan
Namun setiapkali aku berpaling
Sewaktu melewati liku-liku kehidupan
Wajahmu tiba-tiba menjelma
Menggamit titik kebersamaan kita
Mesra...

Berkali ku cuba lontarkan rindu
Dan mengganggap segalanya
Adalah suatu kebetulan
Namun keresahan membadai diri
Menyelit sehelai persoalan
Bahawa disini ada hati yang terluka

Jika ini suratan penentu
Akan ku undur dari haluan kasih
Bermudik kembali kehilir sepi
Mengulangi arah mula
Menghidu jejak-jejak kosong

Maaf sayang
Kerana mengizinkan aku bermukim
Dan meneroka ruang-ruang hatimu
Walau pun cuma di dalam mimpi....


27 Februari 2012
4.40 ptg

Maaf


Maaf kiranya membuatkan hatimu resah
Maaf kiranya membuatkan hatimu hiba
Maaf kiranya membuatkan hatimu berbelah bagi
Dan maaf kiranya kehadiranku
mengesahkan dada..
Sesungguhnya aku tidak pernah terfikir
untuk dipertemukan
tapi suratan takdir telah mempertemukan
walau pun pertemuan itu belum tentu
menjanjikan sebuah kebahagiaan....



Takdir


Kita berjumpa kerana TAKDIR
Kita berkawan kerana kasih sayang
Kita merindu kerana hati
Tapi yang penting semuanya kerana ALLAH TAALA
Tiada yang paling indah dalam kehidupan ini untuk dikenang
melainkan dapat mengenalimu
Terima kasih.....